Bismillahirahmanirrahim…
Saya kembali..
Untuk update pasal Alice.. salah satu si manja kesayangan saya.. Entah macam mana nak habiskan entry ni sedangkan saya tak tahu macam mana nak bermula pun. Belum apa-apa, baru masukkan gambar, air mata saya tak henti-henti mengalir.
Bagi mereka yang tak pernah kenal siapa Alice tu, biarlah saya cerita tentang Alice. Awas, entry ini mungkin akan jadi sangat panjang.
Alice ialah antara kucing yang mula-mula datang pada kami, waktu kami baru lagi buka kedai. Alice dan Bella. Mereka yang terawal. Bella lain sikit, masa tu Bella bunting. Jadi Bella lebih manja, suka datang bergesel dan mintak dibelai. Alice pulak lain kerenahnya.
Alice datang dengan badan yang kurus kering. Nampak tulang rangkanya. Badan kecik je. Saya kesian pada Alice, jadi saya bawak Alice ke vet untuk dimandulkan, supaya lebih sihat dan tak perlu melahirkan unwanted kittens. Yelah, dia sendiri pun hidup melarat, macam mana kalau ada anak nanti kan?
Di vet, doktor tanya saya sekali lagi, betul ke nak spay Alice. Sebab Alice underweight dan fizikal dia sangat menyedihkan. Kata doktor, ada risiko dia mungkin mati nanti. Saya cakap takpe, kalau ajalnya macam tu. Lebih baik daripada dia bunting dalam keadaan fizikalnya yang kurang nutrisi tu. Kata doktor, umur Alice mungkin 3-4 tahun.
Alice survive. Tapi dia alami selsema yang sangat teruk selepas itu.
Alice dan Kelly
Nampak tak kotak dengan alas biru tu? Itulah rumah Alice dulu. Waktu Alice selsema teruk, saya cuba jaga dia. Tapi dia semakin stress. Jadi saya tawakal, lepaskan dia keluar. Saya pesan pada Alice “Alice, ni kakak lepaskan Alice.. tapi nanti setiap hari awak kena datang sini dua kali tau, kena makan ubat,” dia pandang saya seolah berjanji yang dia akan balik untuk makan ubat
Alice kept her promise. Setiap hari saya berjaya suapkan dia ubat dan bersihkan mukanya. Sampai ada orang yang lalu lalang depan kedai tanya saya “Kenapa awak ubatkan dia kalau dia bukan kucing awak?”
Salah ke saya nak bantu dia? Sedangkan bila kita sendiri selsema, pun kita rasa sakit sangat, hidung tersumbat, tak selesa, makan takde selera. Inikan pulak kucing gelandangan, yang terpaksa harapkan belas kasihan orang bila nak makan. Dah la sakit, kena pulak carik makan sendiri. Kucing sendiri, bila selsema, kemain mogok taknak makan walau dihidang makanan paling sedap di dunia.
Tengok, dia pandai gulung alas kaki untuk dibuat bantal, hehe
Berkat diberi makan ubat setiap hari, Alice semakin sihat. Makannya semakin berselera. Badan Alice pun nampak semakin berisi. Alice ada seorang kakak angkat amoi. Yakni amoi kedai kitchen cabinet di sebelah kedai kami. Kedai dia ada aircond. Bila amoi tu buka kedai waktu pagi, Alice akan lepak dengan diorang. Sampailah kami datang untuk buka kedai waktu tengah hari, baru Alice datang lepak kat kedai kami pulak.
Amoi tu selalu datang kedai untuk beli makanan Alice dan kucing-kucing lain yang datang ke kedai dia. Baik sangat diorang.
Nampak tu bontot Kelly, hihi
Alice manja dalam definisi dia sendiri. Alice bukan jenis yang suka digomol, dipeluk atau didukung. Dia lebih suka kita tengok dia dari jauh. Dan dia pun suka tengok kita dari jauh je. Setakat usap-usap tu lah paling maksimum pun.
Banyak kali kami cuba tukar gaya hidup Alice. Kami cuba jadikan dia kucing indoor. Biar dia tinggal dalam kedai, boleh teman Bella, kononnya. Tapi Alice tak suka. Kalau dia masuk kedai, dia akan cari port yang dia rasa selesa dan tidur di situ. Bila terjaga, dia akan mintak keluar. Bersungguh-sungguh mintak keluar. Kalau ada pelanggan buka pintu, dia akan keluar sama.
Bila kami tinggalkan dia waktu malam dalam kedai, Alice akan mogok taknak makan, taknak minum, taknak kencing, taknak berak. Bila kami sampai kedai je, dia akan terus keluar dan merajuk. Lalu seharian lah dia takkan masuk kedai, tanda protes. Kami taknak bahayakan kesihatan Alice yang mogok lapar dan mogok berak kencing tu jika terus paksa dia tinggal dalam kedai. Jadi kami biarkan dia buat pilihan sendiri – yakni masuk kedai ikut suka hati dia, bila-bila masa. Tapi tidur waktu malam, dia mesti nak tidur kat luar.
Tapi bila dalam kedai, Alice suka tidur atas katil
Ini ialah katil kegemaran Alice.
Tidur hingga terjelir lidah
Tapi Alice tak suka diganggu waktu dia tidur. Kami sendiri tak pernah ganggu Alice bila dia lena tidur. Semenjak Alice semakin chubby, semakin ramai yang suka nak usap dan pegang dia bila Alice tidur. Biasanya Alice akan bangun bila diganggu. Dan merajuk. Mengiau minta keluar dari kedai.
Alice tak suka patung dog ni. Dia marah dog ni nak share katil dengan dia
Semakin hari, Alice semakin sihat dan chubby. Kami seronok bila tengok Alice bahagia, dan bila tengok dia tidur terlentang macam ni.
Alice bersembang dengan Jerry
Jerry tak geng dengan Bella. Tapi dia geng dengan Alice. Walaupun Alice bukan jenis suka main dengan meow lain, tapi dia tak marah bila Jerry mengadap dia macam ni.
Itu dia bantal busuk Alice. Tidur pun peluk bantal, hehe..
Alice sangat suka catnip pillow. Banyak catnip pillow Alice. Sampai jadi belacan bantal tu dikerjakan. Alice akan cium, gigit, jilat dan tendang bantal tu sampai hampir lunyai. Lepas tu saya akan bagi dia bantal baru, hehehe..
Alice ucapkan babai dan good night pada Hime yang di dalam carrier.
Begitulah rutin Alice setiap malam. Bila kami tutup kedai, dia akan tunggu. Setiap malam saya akan usap kepala Alice dan pesan pada dia, “Alice jaga kedai kakak ye? Jangan naughty, jangan main hujan tau. Jangan gaduh dengan kucing lain ye. Makanan tu share dengan kucing lain jugak ok,” Alice suka perambat kucing-kucing lain yang nak tumpang makan, sebab tu saya pesan dia jangan kedekut makanan. Setiap malam, itulah pesan saya pada Alice. Bila kami buka kedai pulak, Alice la yang pertama akan sambut. Walaupun sebelum parking, kami nampak dia sedang lena tidur 🙂
Hammock fevret
Bila kami mula pasang hammock ni, Alice dah tak minat lagi tidur atas katil. Dia lagi suka tidur dalam hammock. Alice boleh tidur berjam-jam lamanya dalam hammock, especially bila musim hujan. Mungkin rasa best kot bila terkepit dalam hammock 🙂
Alice semakin hari, semakin chubby
Dulu ramai yang ingatkan Alice ni kucing jantan. Tapi bila diberitahu yang dia kucing betina, orang ingatkan dia bunting pulak, hahaha.. Sebelah kanan kedai kami, waktu tu ialah kedai bundle. Alice suka jugak lepak kat kedai tu. Kadang-kadang sampai terkurung. Sebab Alice tak sedar bila diorang tutup kedai.
Selalunya bila kami nak balik dan tak jumpa Alice, dah tahu dah mesti Alice terkurung kat dalam kedai tu. Rasanya ada la 2-3 kali kot kami call tuan kedai tu, mintak datang buka kedai dan lepaskan Alice. Tulah tido pengsan kan, hihi..
Aksi manja dan comel 🙂
Tidur gaya apa pun tak tahu, hahaha.. Tapi nampak macam selesa sangat hihi.
Budak muka cam jantan katanya
Bila kami tukar susun atur dalam kedai, hammock Alice tetap tak boleh dilupakan. Mesti sangkut jugak kat mana-mana hehehe..
Bila bosan tidur dalam kedai, Alice akan lepak kat depan kedai pulak, atas kerusi.
Pernah sekali, Mandy terlepas keluar, mungkin ikut pelanggan keluar dari kedai. Kami tak perasan. Sampailah keesokan harinya, barulah kami tahu Mandy tak ada. Saya terlalu panik dan takut. Lalu cari serata tempat. Alice yang teman. Bebetul macam anjing yang teman tuannya berjalan waktu petang. Alice ikut ke mana saya berjalan sambil memanggil Mandy. Sepanjang jalan juga Alice meow meow seolah bertanya “Kita nak pergi mana ni kakak? Kenapa kita pusing pusing sana sini?” Mana taknya, hampir satu kampung saya tawaf berjalan kaki, cari Mandy. Tapi tak jumpa jugak.
Tapi akhirnya keesokan harinya, jumpa jugak Mandy waktu nak tutup kedai. Dia jenguk dari bawah kereta. Masa tu saya peluk Mandy kuat-kuat dan menangis. Naughty betul budak tu.
Lalu saya rasa patut pakaikan Alice pet tag seperti ini. Supaya orang tahu yang Alice itu milik kami.
Belakang pet tag tu ada nombor telefon saya.
Alice gembira je pakai collar, walaupun itu kali pertama dalam hidupnya, dia memakai collar. Takde masalah, hehehe..
Tapi bila tiba waktu malam, kami tanggalkan collar tu. Sebab taknak la tersangkut kat mana-mana kan. Bila waktu siang, Alice akan datang minta kami pakaikan collar tu. Kemudian baru dia start jalan-jalan. Maklum la dia kan YB kawasan, hehe..
Selain kakak amoi, Alice ada mommy jugak. Mommy Alice keje di kedai dobi. Alice suka jugak lepak kat kedai dobi sebab kat sana lebih sunyi kot. Kedai kami kan bising hehehe.. Masa memula pakai pet tag dan collar, Alice dengan angkuhnya pegi jumpa mommy dan meow meow, nak tunjuk rantai baru dia. Kelakar sangat.
Alice dah complete 3 kali vaksin. Ubat kutu dan ubat cacing pun diberi setiap bulan, memandangkan dia kucing outdoor. Semua kucing kami divaksinkan mengikut nasihat vet. Kami jaga kesihatan mereka sebaik mungkin, walaupun mereka cuma kucing biasa. Bagi kami, semua kucing sama je. Wajar disayangi dan dijaga sama rata.
Sepanjang hampir setahun, kami perhatikan Alice memang seekor kucing yang sangat baik. Bukan jenis yang main lintas-lintas jalan ataupun membahayakan nyawa.
Hinggalah tiba tanggal 9 July 2014. Waktu tu lepas berbuka. Waktu tu kami sedang melayan pelanggan. Tiba-tiba jiran kedai sebelah panggil saya dalam keadaan panik, “Akak!! Alice mana?”
Saya pun cakap la Alice kat luar sebab dia memang selalu lepak kat luar je bila ramai pelanggan ada dalam kedai.
“Saya rasa Alice yang kena langgar tu kak!!!”
Apa lagi kami meluru keluar terus berlari ke jalan raya. Depan kedai kami ialah sebuah restoran yang ada buat buffet Ramadhan. Waktu tu orang dah mula nak balik, kereta memang banyak. Tapi sepatutnya tak perlu pandu laju di situ sebab jalan tu bukan jalan besar, sebaliknya cuma sebuah lorong yang menghala ke kampung di dalam.
Alice masih bernyawa waktu tu, tapi mulut Alice berdarah banyak. Terus dibawa masuk ke dalam, ke bahagian belakang kedai. Sempat saya menjerit dan bertanya siapa yang langgar, tapi tiada siapa yang menjawab.
Saya menangis dan rasa seolah kehilangan ahli keluarga. Saya amat sayangkan Alice dan saya rasa sungguh bersalah. Alice tinggalkan kami semua tepat jam 9 malam. Saya kehilangan Alice, kawan baik yang amat saya kasihi, yang amat setia.
Kak Zana, pelanggan saya yang ada waktu tu peluk dan pujuk saya supaya bertabah dan jangan salahkan diri atas kejadian yang menimpa Alice. Saya peluk Alice. Saya rasa seperti saya gagal sebagai seorang yang sepatutnya menjaga dan melindungi Alice.
Alice segera dibungkus. Suami bawa pulang Alice dan tanam di halaman rumah kami. Saya ingat suatu hari nanti kami akan bawa pulang Alice dan kenalkan pada kucing kami di rumah. Tapi tak sangka rupanya Alice hanya dibawa balik untuk ditanam dan bersemadi bersama Kiko dan yang lain-lain.
Ini gambar terakhir Alice yang sempat saya ambil. Kakak rindu sangat Alice..
Tak sangka Alice tinggalkan kami begitu cepat. Saya sangat sedih sampai demam keesokan harinya. Saya selalu fikir andaikata Alice hilang suatu hari nanti, mungkin dia di-kidnap orang sebab kecomelannya. Sebab Alice sangat street-wise, jadi tak terfikir pun yang dia akan terlibat dengan kemalangan. Menurut jiran yang menyaksikan Alice dilanggar tu, katanya kereta yang langgar Alice tu memang laju gila hentam dia. Sedih betul. Tapi badan Alice elok sempurna tak kena lenyek. Mungkin kepala dia yang terhantuk teruk kot. Alice waktu tu sedang nak lintas jalan untuk kembali ke bangunan kedai kami. Tapi belum sampai ke tengah lagi, macam baru nak jalan. Sedih tak terkata.
Waktu kematian Alice, mommy Alice, iaitu Eena yang di kedai dobi tu sedang maternity leave. Kakak yang gantikan dia kerja pun tak beritahu pada Eena pasal pemergian Alice. Sebab takut dia bersedih waktu dalam pantang. Eena sangat sayangkan Alice. Masa lepas bersalin tu, dia ada beritahu yang dia sedih tak sempat nak ucap babai kat Alice sebelum start maternity leave. Tak sangka Eena langsung tak dapat jumpa Alice lagi. Bila dah hampir nak raya, baru saya inform pada Eena tentang Alice. Dia marah kenapa saya tak bagitahu awal-awal. Yelah dia kan dalam pantang, takkan nak buat dia sedih pulak kan..
Hanya ini kenangan yang Alice tinggalkan
Pet tag Alice ada banyak darah dan bercalar. Saya bersihkan dan kilatkan semula. Kini collar dan pet tag tu kami gantung di pintu kedai sebagai kenangan.
Memang pilu sangat bila datang kedai tanpa disambut Alice. Bila tutup kedai, takde yang babai kami. Paling sebak bila terpaksa cerita pada pelanggan yang tanya, “Eh mana Alice? Lama tak nampak dia, selalunya dia duduk melepak kat depan kedai ni..,”
Hampir sekotak tisu saya gunakan untuk siapkan entry ni. Kalau nak tulis setiap gelagat Alice, memang boleh buat satu buku agaknya. Kakak rindu pada Alice 🙁
Semoga Alice bahagia dan gembira sepanjang hidup dengan kami selama ni. Semoga Alice tahu yang kami semua amat sayangkan dia dan tak akan lupakan dia, seperti mana kami tak pernah lupakan Kiko dan kucing-kucing lain yang dah tinggalkan kami.
2 Comments
Comments are closed.