Tarikh 1 April 2024, jam 1:04 pagi, kucing pertama kakak dan kesayangan kami sekeluarga, Sookie, telah pergi meninggalkan kami. Sookie telah menghabiskan 13 tahun hidupnya dengan penuh kasih sayang dan kenangan indah bersama kami. Kakak dan suami ada bersamanya di saat-saat akhir, di tempat favourite Sookie, iaitu atas carpet kat depan TV, tempat yang setiap hari menjadi tempat Sookie menemani anak-anak kakak.

Sookie masa umur 3 bulan. Cinonet je
Sookie bukan sekadar kucing; dia lebih tua dari anak-anak kami dan menjadi teman setia sepanjang masa. Sejak anak pertama kakak dilahirkan, umur Sookie dah 5 tahun. Sookie kekal tenang je walaupun anak-anak kakak riuh, bising dan kadang-kadang mengganggu ketenteramannya yang dah warga emas tu nak berehat.

Babysitter terbaik kami
Petshop kakak juga dinamakan sempena nama Sookie, sebagai penghargaan kepada kucing pertama kami yang amat kami sayangi ini. Kakak belajar banyak perkara mengenai kucing kerana Sookie. Sookie juga selalu menjadi tarikan kedai, dengan saiznya yang besar dan gebu, mencapai berat 13 kg pada satu ketika. Ramai customer yang datang ke kedai, bukan setakat nak membeli barang, tapi nak jumpa dan bergambar dengan Sookie.

Kedai kami bersempena nama Sookie. Asalnya Sookie’s Store. Tapi sebab semorang panggil Sookies, so masa nak pindah kedai baru, kami rebranding kepada Sookies sahaja.

Sookie di zaman kegemilangannya, memang besar gila dan gebuu sangat macam carpet tebal
Namun pada tahun 2023, Sookie didiagnosis dengan penyakit buah pinggang (Chronic Kidney Disease – CKD). Bermula dari situ, berat badan Sookie mula menurun sikit demi sedikit. Walaupun berat badannya semakin menurun, tapi Sookie tetap aktif dan ceria, makan pun masih sangat berselera, seolah-olah penyakitnya itu bukanlah sesuatu yang mengganggu semangatnya.
Tapi, dua minggu sebelum Sookie pergi, keadaan kesihatannya mula merosot. Bermula dengan ulcer di mulut, menyebabkan Sookie tak boleh nak makan dan hilang selera. Tapi lepas beberapa hari, akhirnya ulcer tu hilang, tapi selera makan Sookie tak kembali.

Gambar terakhir Sookie masa pegi grooming. Time ni dia dah takde ulcer, tapi memang selera makan dia tersangat la kurang dah
Rasanya seminggu lebih juga kami berulang ke klinik untuk sub-cut Sookie dan masuk air, supaya tak terlalu dehydrated. Kakak susah hati. Masa tu bulan puasa. Hari raya hampir tiba tapi kesihatan Sookie makin merosot. Kami takut perkara buruk berlaku masa ketiadaan kami.

Dua hari sebelum Sookie pergi, dia muntah darah macam ni
Kelam kabut kakak tanya Dr Lean, masa tu time bukak puasa. Terbantut selera nak makan bila Sookie muntah darah berketul macam tu. Takut sangat. Nasib baik Dr Lean terus call and jelaskan yang Sookie muntah darah sebab peningkatan toksin dalam darah sebab fungsi buah pinggang yang makin teruk. Toksin tu menyebabkan ulser pada perut dan usus, sebab tu la dia muntah darah.
Esoknya kakak bawak Sookie pegi klinik sebab doktor nak bagi dia injection tahan muntah dan gastrik. Kat klinik kakak nangis berjujuran air mata pulak dekat Dr Lean.

Glove tu kakak letak air panas. Sebab masa ni badan Sookie dah mula sejuk dah..
Malam terakhir kami bersama Sookie adalah saat-saat yang teramat menyedihkan tetapi penuh dengan kasih sayang. Kakak berbual heart-to-heart dengan Sookie, kakak suruh Sookie jangan tahan lagi. Kakak redha kalau Sookie nak pergi dari terus sakit dan menderita, sebab kakak pun sedih bila tengok Sookie sakit. Kakak nak Sookie pergi dalam keadaan Sookie masih cantik dan gebu macam biasa.

Sookie beberapa jam sebelum pergi tinggalkan kami – cantik kan?
Sookie pergi dengan tenang di depan kakak dan suami, dengan berat hanya 4.1 kg, namun tetap cantik dan gebu, seperti yang kakak inginkan.

Memey lepas kami bungkus kawan baik dia, Sookie. Seakan memahami. Dia duduk je tepi carrier tu
Malam tu anak kakak yang sulung tu asyik terjaga dan menangis, nightmare katanya. Rasanya dia dah tak sedap hati, tapi kami tak bagitahu pun yang Sookie dah takda. Takut dia nangis teruk. Esok paginya dia bangun dan terus cari Sookie. Bila kakak cakap Sookie dah takda, terus berjujuran air mata dia menangis. Yelah, Sookie tu umpama kakak pada kedua-dua anak kakak. Hari itu, kedua-duanya tak pergi sekolah. Sebab nak bawak diorang pergi kuburkan Sookie.

Badan Sookie kekal lembut pagi tu walaupun dah hampir 7 jam sejak waktu kematiannya.
Halaman rumah kami tu dah macam tanah perkuburan kucing dah. Berapa banyak kucing yang kami kuburkan kat situ. Kucing pertama yang kami tanam kat rumah ni ialah Kiko.

Sookie bukan setakat kucing pertama kakak, tetapi juga kawan sejati yang setia menemani sepanjang hidup kami. Dari grooming yang Sookie suka sangat tu, hingga waktu Sookie bermain dengan Syazriq dan Syazran, segala memori ini akan terus kekal di hati kakak. Terima kasih kerana menjadi sebahagian besar dari hidup kami selama 13 tahun ini, Sookie. Kakak saaaayanggg sangat Sookie. Takkan ada kucing lain yang mampu menggantikan tempat Sookie di hati kami.
Selamat berehat, Sookie. Sookie dah tak sakit dan sekarang boleh berlari dan bermain dengan kawan-kawan yang lain di cat heaven. Kami akan sentiasa rindu dan sayang Sookie selamanya.
Sookie 16 Januari 2011 – 01 April 2024
Comel sngt sookie ni 🥰 bulu n warna sookie sama mcm kucing saya, cola. Semoga kakak redha dn tabah atas pemergian kucing kesayangan ini ❤🩹
Alhamdulillah memang redha.. cuma sedih setiap kali teringatkan dia.. even anak-anak pun selalu sebut pasal Sookie
kesayangan semua ni… sy pggl sookiee si hidung rentung.. smpai ke kuantan sy semata nak jumpa sookie… tp takde rezeki jumpa sookie smpai ke akhir hayatnya.. jumpa yg lain je ms kat kedai lama dan makin bertambh kawan sookie masa di kedai baru.